Powered By Blogger

Sunday, April 13, 2008

Dana pinjaman JPA kontang 2 tahun lagi

PUTRAJAYA 13 April – Tabung pinjaman Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bakal ‘kering kontang’ dalam tempoh dua tahun lagi jika jabatan itu tidak mengambil tindakan tegas terhadap peminjam tegar bermula daripada sekarang.

Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam berkata, tabung pinjaman tersebut kini hanya mampu bertahan sehingga 2010 dan tindakan proaktif untuk mengisinya semula perlu digerakkan daripada sekarang.

‘‘Tabung pinjaman ini perlukan modal pusingan untuk membiayai pengajian pelajar baru. Kalau sudah kosong ia akan menyusahkan banyak pihak yang benar-benar memerlukannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Ismail berkata, cadangan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memburu peminjam tegar bertujuan memastikan tabung biasiswa jabatan itu tidak kering.

Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan JPA, Datin Mardinah Mohamad berkata kelmarin, jabatan itu sedang menimbang untuk bekerjasama dengan BNM bagi mendapatkan maklumat kewangan individu yang gagal menjelaskan pinjaman pengajian mereka.

Mardinah dipetik sebagai berkata, melalui penyertaan JPA dalam Pangkalan Data Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) adalah mudah bagi jabatan itu memastikan peminjam membayar balik hutang.

Jika jalinan kerjasama itu terlaksana, pelbagai implikasi terpaksa dihadapi peminjam tegar termasuk kesukaran membuat pinjaman bank pada masa akan datang.

Sejak 1987 seramai 11,253 peminjam masih gagal menjelaskan pinjaman berjumlah RM135,759,932.

Ismail menambah, kebiasaannya peminjam akan mula menjelaskan hutang apabila tindakan undang-undang bakal diambil ke atas mereka.

‘‘Ramai yang kini berjawatan besar tetapi enggan buat bayaran. Jangan tamak. Itu tanggungjawab moral yang kita perlu lunaskan,” katanya.

Ditanya kesan daripada tindakan JPA itu akan menggalakkan peminjam beralih kepada ceti haram kerana gagal mendapatkan pinjaman bank, beliau berkata, masalah itu tidak akan berlaku jika peminjam membayar balik pinjaman mereka kepada JPA.

‘‘Kita bukan suruh bayar sekali gus. Kalau betul-betul susah kita boleh berunding. Bayarlah sikit-sikit. Jangan tak bayar langsung.

‘‘Kalau sudah berhutang kenalah bayar, kecualilah pemberi hutang itu beri percuma,’’ katanya.

Ismail berkata, prinsip utama dalam berhutang ialah setiap penghutang wajib membayar balik hutang kepada pemiutang.

Utusan Malaysia, April 13 2008

Template Designed by Douglas Bowman - Updated to New Blogger by: Blogger Team
Modified for 3-Column Layout by Hoctro