Powered By Blogger

Sunday, February 3, 2008

Regular Savings


Simpan RM5 sehari Kim Lian bawa pulang Myvi


KEPALA BATAS 2 Feb. - Simpan RM5 sehari akhirnya dapat kereta Perodua Myvi - demikian tuah Ku Kim Lian, 74, yang sentiasa sabar menabung dalam bank walaupun dalam jumlah sedikit. Kesabaran dan kesetiaannya menyimpan di Bank Pertanian Malaysia (BPM) cawangan Kota Bharu setiap hari sejak 1992 itu melayakkannya menerima kereta sempena kempen Anugerah Patriotik BPM.

Kim Lian, seorang peniaga di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu berkata, dia akan singgah ke bank tersebut ketika hendak membeli nasi untuk makan tengah hari atau sebelum pulang ke rumah selepas selesai berniaga. ‘‘Mak cik jual udang, sotong kat pasar. Paling sikit simpan RM5, paling banyak RM20,” katanya kepada pemberita selepas menerima kereta tersebut pada majlis Perhimpunan Warga Tani di Dataran Penaga di sini hari ini.

Dia yang ditemani oleh anak saudaranya, Ehdee Plu, 48, dibawa khas oleh BPM cawangan Kelantan bagi menerima hadiah tersebut yang disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kim Lian yang masih bujang memberitahu, dia jarang mengeluarkan wang simpanannya itu kecuali untuk tujuan perubatan.

Ujarnya, dia tidak pernah terfikir akan mendapat kereta tersebut kerana tujuannya menyimpan adalah untuk kegunaan hari tua dan apabila sakit. Kim Lian ketika ditanya apa yang akan dilakukan dengan kereta Perodua Myvi 1.3 Auto tersebut hanya tersenyum dan sempat bergurau, “Balik ni mak cik kena belajar ambil lesen.”


Source : Utusan Malaysia (Feb. 3, 2008)

Template Designed by Douglas Bowman - Updated to New Blogger by: Blogger Team
Modified for 3-Column Layout by Hoctro