Powered By Blogger

Monday, April 21, 2008

AKPK

AKPK bantu 41,366 orang bermasalah kewangan
21/04/2008 2:59pm


KUANTAN 21 April – Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah membantu sebanyak 41,366 pengguna yang menghadapi masalah kewangan di seluruh negara sejak 2006 hingga 31 Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Mohamed Akwal Sultan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 29,685 orang mendapat perkhidmatan kaunseling dan selebihnya menerima bantuan melalui program pengurusan kredit.

Dalam tempoh itu, kata beliau, penduduk Kuala Lumpur paling ramai mendapatkan khidmat AKPK iaitu seramai 25,527 orang diikuti Johor Bahru seramai 5,494 orang.

``Kebanyakan yang hadir mendapatkan kaunseling itu ialah golongan yang kehilangan pekerjaan, kegagalan perniagaan, masalah kesihatan, penganggur dan kematian anggota keluarga,'' katanya ketika berucap pada majlis perasmian AKPK cawangan Kuantan di Teluk Chempedak dekat sini hari ini.

Mohamed Akwal menjelaskan, faktor yang menyumbang kepada masalah hutang dan ketidakmampuan membayar balik pinjaman berpunca daripada kelemahan pengurusan kewangan.

``Kebanyakan mereka tidak mempunyai pengetahuan membuat perancangan kewangan dan tidak berdisiplin dalam kehidupan mereka,'' jelasnya.

- Utusan

Template Designed by Douglas Bowman - Updated to New Blogger by: Blogger Team
Modified for 3-Column Layout by Hoctro