Bersedekah demi keredaan Allah
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Sayyid Qutub berkata: “Oleh sebab itulah satu peralihan pembicaraan dibuat iaitu daripada berbicara dengan orang-orang yang beriman kepada berbicara dengan Rasulullah SAW untuk menjelaskan beberapa hakikat yang besar dan mempunyai kesan yang mendalam dalam usaha menegakkan kefahaman Islam di atas asas-asasnya (yang kukuh) dan menegakkan tingkah laku Islam di atas jalannya (yang sebenar).
Ibn Abi Hatim meriwayatkan dengan isnadnya daripada Ibn Abbas r.a daripada Nabi SAW bahawa dahulu beliau menyuruh supaya jangan diberi sedekah melainkan kepada orang-orang Islam sehingga turun ayat di atas. Ibn Jauzi berkata, sebab turunnya ayat ini kerana orang Muslim rasa kurang senang bersedekah kepada kaum kerabat mereka yang musyrikin, inilah pendapat jumhur. Adapun urusan hati, hidayatnya dan kesesatannya, maka ia bukan urusan seseorang makhluk Allah walaupun dia itu Rasulullah SAW sendiri. Ia adalah urusan Allah Yang Maha Esa sahaja. Kerana hati itu adalah ciptaan Allah dan tiada siapa selain Allah yang boleh menguasai dan mengendalikannya.
Tiada siapa yang mempunyai kuasa-kuasa di atas hati-hati itu selain daripada Allah SWT. Tugas Rasul hanya menyampaikan perintahnya dan urusan hidayat terletak di tangan Allah. Ia mengurniakannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dari mereka yang diketahui wajar menerima hidayat dan berusaha untuk mendapatkannya. Mengeluarkan urusan hidayat daripada ikhtisas manusia itu menjelaskan hakikat yang pasti ditanam di dalam hati setiap Muslim agar ia bertawajjuh kepada Allah Yang Maha Esa sahaja dalam usahanya untuk mencari hidayat dan agar ia menerima bukti-bukti hidayat daripada Allah Yang Maha Esa sahaja.
Kemudian hakikat ini juga melapangkan dada Rasulullah Sahibud-Dakwah dalam menghadapi kedegilan orang-orang yang sesat. Kerana itu hatinya tidak merasa bosan terhadap mereka apabila beliau berdakwah kepada mereka, malah beliau menaruh perasaan belas kasihan terhadap mereka dan menunggu keizinan Allah semoga hati mereka mendapat hidayat semoga hati mereka mendapat hidayat dan semoga Allah memberi taufik kepada mereka ke arah mendapat makrifat Allah apabila Ia kehendaki.
Firman Allah SWT: Bukanlah kewajipanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk (memberi taufik) siapa yang dikehendaki-Nya. Sayyid Qutub berkata: “Oleh itu hendaklah engkau lapangkan dadamu kepada mereka dan banyakkan toleransimu kepada mereka dan hulurkan kebajikan dan pertolongan yang diperlukan mereka darimu dan serahkan perkara mereka kepada Allah dan ganjaran setiap pemberi bantuan tersimpan di sisi Allah”.
Dari sinilah kita dapat melihat beberapa kemuncak toleransi yang tinggi dan gemilang. Kemuncak inilah Islam mengangkat hati kaum muslimin dan melatih mereka supaya mencapainya. Islam bukan sahaja menegakkan dasar kebebasan beragama dan bukan sahaja melarang paksaan memeluk agama, malah Islam menegakkan dasar yang lebih jauh daripada itu, iaitu ia menegakkan dasar toleransi insaniah yang diambil daripada arahan Allah SWT yang menetapkan seluruh orang yang memerlukan itu berhak mendapat pertolongan dan bantuan.
Selama mereka tidak berada dalam keadaan perang dengan kelompok muslimin. Tanpa memandang kepada agama mereka, juga menetapkan bahawa ganjaran bagi orang-orang yang memberi pertolongan itu tetap tersimpan di sisi Allah dalam segala keadaan selama infak itu bertujuan mencari keredaan Allah.
Itulah toleransi yang membangkit dan menampilkan umat manusia ke depan. Hanya Islam sahaja yang dapat melakukannya dan hanya orang-orang Islam sahaja yang mengetahui hakikat-hakikatnya. Firman Allah: Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), Maka pahalanya itu untuk kamu sendiri. Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan kerana mencari keredaan Allah.
Al-Zajjaj berkata, ini khusus bagi orang yang beriman di mana Allah mengajar mereka bahawa ia sungguh Maha Mengetahui kehendak mereka di sisi begitu juga memberi tahu mereka dengan sahnya qasad dan nawaitu mereka. Maka sesungguhnya Allah juga mengkhabarkan kepada mereka balasan. Al-Hasaan al-Basri berkata, orang yang beriman nafkah untuk dirinya dan ia tidak infak untuk mencari keredaan Allah. Sedangkan Ata’ al-Kharasani berkata, yakni jika kamu kurniakan semata-mata kerana Allah maka tiada dosa dan kesalahan bagi kamu apa yang dikerjakannya.
Ibn Kathir menyatakan ini adalah makna yang baik. Kesimpulannya bahawa yang bersedekah semata-mata mencari keredaan Allah, maka sesungguhnya ia pasti mendapat pahala dan tiadalah ke atasnya sebarang dosa daripada nafkah yang dilakukan sama ada bagi orang baik dan orang jahat. Begitu juga orang yang berhak atau tidak ia tetap mendapat pahala berdasarkan niatnya. An-Nasafi berkata, bukanlah nafkah kamu kecuali mencari keredaan Allah dan menuntut di sisi-Nya.
Firman Allah: Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan, nescaya kamu akan diberi pahalanya dengan cukup sedang kamu sedikitpun tidak akan dianiaya (dirugikan).
Al-Baghawi berkata, ayat ini mempunyai syarat jika sekiranya kamu nafkahkan daripada harta yang baik sudah pasti Allah membalas untukmu dan kamu akan termasuk dalam golongan seperti yang difirmankan Allah.Sebagai penutup penulis menukilkan hadis Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW: Seorang lelaki pernah berkata: Aku akan bersedekah pada malam ini kemudian beliau keluar dan memberi kepada seorang penzina, keesokan harinya orang ramai bercakap penzina telah diberi sedekah. Lantas lelaki ini berkata, Ya Allah bagi kamu segala kepujian atas penzina tersebut dan aku akan bersedekah pada malam ini kemudian beliau keluar dan memberi sedekah pada orang kaya.
Keesokan harinya orang ramai berkata, orang kaya mendapat sedekah maka berkata lelaki tersebut, Ya Allah bagimu segala kepujian atas orang kaya. Pada malam ini aku akan bersedekah dan aku memberi kepada pencuri. Keesokan harinya orang ramai berkata, pencuri mendapat sedekah. Lantas katanya, Ya Allah, bagi kamu segala kepujian ke atas penzina, orang kaya dan pencuri. Kemudian datang dan dikatakannya adapun sedekah kamu diterima. Adapun penzina semoga ia menjaga maruah dengan sedekah tersebut dari berzina. Dan semoga orang kaya mengambil iktibar untuk menjadi orang yang berinfak ke atas kurniaan Allah. Dan semoga pencuri menjaga maruahnya dengan sedekah tersebut daripada mencuri. (riwayat Bukhari dan Muslim)Bersedekah demi keredaan Allah.
Source : Utusan Malaysia, May 17, 2008
Friday, May 16, 2008
SEDEKAH
Posted by Mr. Dollar at 8:16 PM